KOTA SAMARAHAN: Lagu ‘Sayau Aku Bisi Orang Empu’ dan ‘Siti Penanggul Entara Tua’ membawa tuah kepada Tony Rumpang, 20, apabila dinobat sebagai juara Pertandingan Bintang Klasik Iban (PBKI) 2016 yang berlangsung di Summer Mall, malam kelmarin (Sabtu) .

Tony yang masih mengikuti pengajian muzik di Kampung Budaya Sarawak (KBS) dekat sini membawa pulang hadiah wang tunai RM2,500, trofi dan sijil penyertaan serta peluang merakam album ‘single’ dengan Ranyai Studio.

Beliau yang ditemui selepas pertandingan berkata amat gembira dan berbangga kerana mampu menyanyikan lagu Iban klasik dengan baik walaupun belum lahir lagi ketika itu.

“Malam ini (kelmarin) saya sangat berbangga, tidak tahu bagaimana hendak saya jelaskan dengan kata-kata. Terima kasih kepada semua yang telah memberi sokongan kepada saya terutama ahli keluarga kerana banyak memberi galakan.

“Selepas ini saya akan meneruskan usaha dalam industri ini selain meneruskan pengajian (muzik) di Kampung Budaya Sarawak,” katanya sambil menambah, pertandingan seumpama itu harus diteruskan pada masa akan datang.

Tony yang berasal dari Lemanak, Lubok Antu  berkata pertandingan mempopularkan lagi lagu-lagu lama atau klasik Iban agar sentiasa malar hijau serta mendapat tempat di hati pendengar dan tidak lapuk ditelan zaman.

Sementara itu, naib juara dimenangi Bandi Ali yang menyaksikannya memenangi hadiah wang tunai RM2,000, trofi serta sijil penyertaan. Beliau  menyanyikan lagu ‘Kena Jayau Tubuh Nuan’ dan  ‘Udah Laun Tua Betemu’.

Wendy Eugene yang mempertaruhkan lagu ‘Lapa Nuan Nyabak Sulu’ dan ‘Sulu Mata Engkudu’  muncul pemenang tempat ketiga. Beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500, trofi berserta sijil penyertaan.

Hadiah juara, naib juara dan tempat ketiga disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin yang juga Presiden Persatuan Artis dan Pemuzik Dayak (DAMA) Snowdan Lawan.

Bahtea Mohd Taufik pula dipilih sebagai pemenang persembahan terbaik yang melayakkannya memenangi wang tunai RM500 dan hadiah disampaikan oleh wakil Persatuan Pendidikan Bahasa Iban (AEDIL) Harold Unsie.

Berbeza dengan penganjuran lalu, PBKI 2016 memperkenalkan kategoti paling banyak ‘like’ dalam laman sosial Facebook dan pemenangnya ialah Rosyah Bali’ee yang menerima hadiah istimewa daripada Summer Mall.

Pada pertandingan kali ini juga Bahtea, Rosyah serta tiga lagi finalis iaitu Linda, Sylia dan Maxwell menerima hadiah sagu hati dalam bentuk wang tunai RM300, trofi serta sijil penyertaan.

Selain menyaksikan persembahan finalis, orang ramai yang hadir dihiburkan oleh beberapa artis Iban terkenal antaranya Eisner Nala, Jennifer Jack, Karen Libau serta Charlene Johnny dan Krisberne dan kumpulan Bitang Sikora.

PBKI 2016 dianjurkan oleh Persatuan Penggiat Seni dan Kebudayaan Dayak Kuching (PPSKDK) dengan kerjasama AEDIL dan Utusan Borneo.

Hadir sama Pengerusi PPSKDK, Marven Tajem.